Monday 10 December 2012

ADAB DALAM MENUNTUT ILMU




Menuntut ilmu adalah satu keharusan bagi kita kaum muslimin. Banyak sekali dalil yang menunjukkan keutamaan ilmu, para penuntut ilmu dan yang mengajarkannya. Adab-adab dalam menuntut ilmu yang harus kita ketahui agar ilmu yang kita tuntut berfaedah bagi kita dan orang yang ada di sekitar kita sangatlah banyak. Bagi seorang pelajar atau murid haruslah menepati beberapa syarat untuk menuntut ilmu agar ilmu yang dicari akan memberi manfaat kepadanya di dunia mahupun di akhirat. Di antara adab-adab yang perlu dimiliki oleh seorang penuntut ialah seperti berikut:

- Memilih kawan yang soleh. Kawan memainkan peranan penting bagi orang yang hendak menuntut ilmu. Kita akan senang terpengaruh dengan akhlak kawan, sekiranya kita memilih kawan yang soleh mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang soleh juga.

- Menghormati guru. Seorang pelajar wajib menghormati gurunya untuk mendapat keberkatan dalam hidupnya. Gurulah yang berkorban untuk menjadikan kita seorang yang berilmu pengetahuan sehingga dapat memasuki menara gading dan mendapatkan pekerjaan yang baik.

- Banyakkan zikir atau mengingati Allah swt. Kita tidak akan melakukan sesuatu maksiat di saat kita mengingati Allah swt. Zikir juga akan memberi ketenangan kepada jiwa kita. Apabila jiwa kita tenang maka segalah masalah akan dapat diselesaikan dengan baik.

- Tekun dan bertawakkal hanya kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt sangat suka kepada orang yang
  melakukan sesuatu pekerjaan lalu ia tekun mengerjakannya. kita hendaklah bertawakkal hanya kepada Allah  swt. sahaja dalam segenap hal, lebih-lebih lagi dalam masalah menuntut ilmu . Ini kerana kita sebagai hamba  hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang menentukan segalanya.

- Niat yang ikhlas kepada Allah swt . Yakni mencari ilmu kerana ia merupakan satu kefardhuan daripada Allah.  Mencari ilmu bukan bertujuan untuk mendapat habuan dunia semata-mata atau untuk berdebat dengan orang   jahil. Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan selain daripada kerana Allah swt maka telah siap untuknya   neraka Allah swt.

- Menjauhi segala maksiat. Maksiat adalah satu punca daripada punca-punca seseorang pelajar itu susah untuk  menerima, memahami dan mengamalkan sesuatu ilmu. Seorang pelajar perlulah berusaha semampu yang boleh  untuk mengelakkan dirinya daripada sebarang maksiat. Sekiranya ia melakukan maksiat secara tidak sedar  maka segeralah bertaubat kepada Allah swt. Orang yang sempurna bukan orang yang tidak pernah melakukan   maksiat tetapi orang yang sempurna ialah orang yang apabila ia melakukan maksiat ia terus bertaubat kepada  Allah swt dengan segera.

- Menghormati diri sendiri dan orang lain. Ramai orang yang boleh menghormati orang lain tetapi tidak ramai orang yang mampu menghormati diri sendiri seperti tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan badan,roh dan akal.

- Doa daripada ibubapa. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang pelajar. Doa yang tidak akan ditolak oleh Allah swt ada tiga golongan iaitu doa orang yang dizalimi,doa ibubapa dan doa orang musafir.

- Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Allah amat murka kepada mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ilmu yang tidak diamal ibarat pohon yang tidak berbuah.

Wednesday 5 December 2012

CARA MENYUCIKAN NAJIS





Cara Menyuci Najis Mughallazah (Najis Berat)

* Anjing dan babi serta keturunan salah satu daripadanya. - termasuk dagingnya, lemak, tulang, darah, liur, tahi, kulit serta bulunya serta seluruh bahagian badannya.

Peringatan.

1.  Tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak.

2.  Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Menyucinya.

Hilangkan najis itu terlebih dahulu kiranya najis haiwan itu yang tersentuh. Basuhan pertama menggunakan air lumpur (Selut).

Kemudian dijirus dengan enam kali air mutlak. Basuhan ini hendaklah menghilangkan bau, rasa dan ainnya.

Cara menyucikan Najis Mutawasitah (Pertengahan).

1. Najis Ainiyah.

    i.  Buangkan najis itu terlebih dahulu.

    ii.  Basuh bekas itu sehingga hilang bau, warna dan rasa dengan air mutlak.

2.  Najis Hukmiyah.

    i.  Memadai dengan mengalirkan (Menjirus) air mutlak pada tempat yang terkena najis.

Cara menyucikan Najis Mukhaffafah (ringan).

 Memadai dengan merenjiskan air pada benda atau tempat yang terkena najis sehingga rata.

Cara Menyucikan Kulit Bangkai

Binatang yang mati tidak disembelih adalah bangkai. Kulit bangkai kecuali binatang laut dan sungai tidak boleh dipergunakan sebelum disuci.

Cara menyucinya ialah dengan dibersihkan menggunakan air bercampur daun bidara atau juga biasa disebut samak. Sebelum disamak kulit bangkai itu adalah najis.

Cara menyucikan cairan yang memabukkan.

Kiranya minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda cair, maka buanglah semuanya. Tetapi jika minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda beku, cukuplah dibuang bahagian yang terkena dan kawasan sekelilingnya.

Perkara yang tidak dikira sebagai najis.

Bagi haiwan yang mati tanpa disembelih hukumnya bangkai yang bernajis kecuali yang berikut di bawah:

1.  Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.

2.  Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.

3.  Belalang.

4.  Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.

5.  Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.



Hukum Peluh dan air liur manusia dan binatang.

1.   Air liur, kahak yang keluar daripada dada atau otak, air hidung, air mata, peluh , mani, susu jika ia keluar dari:

i.  Anjing dan babi atau keturunannya adalah haram kerana ianya adalah najis.

ii.  Keluar daripada binatang atau manusia adalah suci semuanya. tapi benda itu adalah dianggap jijik dan haram dimakan.

2.  Tidak najis air liur kucing, jika pasti semasa itu ia tidak memakan benda najis seperti cicak, tikus dan seumpamanya.

i.  Selepas makan tikus lalu kucing itu menjilat air minuman, maka air yang dijilati itu menjadi najis.

ii. Jika selepas makan tikus atau sebagainya, kesan darah di mulut kucing itu telah hilang, kemudian kucing itu menjilat minuman.  Air minuman itu tidak najis.

Air Liur Basi

Air yang keluar daripada mulut ketika seseorang tidur.

1.  Jika air itu berwarna kuning atau busuk, maka iar liur basi itu najis kerana ia keluar dari perut.

2.  Jika air liur itu tidak berwarna dan tidak berbau busuk, maka iar liur itu tidak najis kerana bukan keluar dari perut.

Hukum Madu

1.  Halal meminum madu  kerana madu keluar daripada mulut lebah.

2.  Haram memakan anak lebah sekalipun belum bernyawa.

3.  Tidak makruh meminum madu daripada lebah yang memakan najis.



Tuesday 4 December 2012

PENGERTIAN NAJIS & JENISNYA



Najis ialah suatu benda yang kotor dan jijik . Najis menurut pengertian  syarak ialah segala yang kotor yang membatalkan solat seperti tahi, nanah, darah dan sebagainya.  
Bagaimanapun benda yang jijik tapi pada syariat tidak membatalkan solat seperti kahak, hingus dan lain-lain tidak dikira sebagai najis.                     
Menurut hukum aslinya sesuatu benda itu adalah suci selama tak ada dalil yang menunjukkan bahawa benda itu najis.
Benda-benda Najis

1.  Bangkai haiwan darat yang berdarah. (kecuali mayat manusia tidak najis) bahagian-bahagian bangkai seperti daging, kulit, urat, tulang, bulu dan sebagainya semuanya adalah najis.

2.  Air kencing.

3.  Tahi.

4.  Darah. Semua jenis darah kecuali hati dan limpa.

5.  Nanah. Segala macam nanah adalah najis sama ada ainya berbentuk kental atau cair.

6.  Muntah.

7.  Mazi. Iaitu air putih yang keluar dari kemaluan ketika memuncak syahwat. Ia hanya terdapat pada lelaki dan perempuan. Tetapi lebih banyak pada kaum perempuan.

8.  Wadi. Iaitu air putih kental yang keluar dari kemaluan mengiringi kencing atau kerana letih.

9.  Arak atau tuak ( masam) . Setiap minuman keras yang memabukkan.

10. Anjing dan babi serta keturunannya. 

Segala najis tidak dapat disucikan kecuali arak dan kulit bangkai binatang.

Arak apabila sudah menjadi cuka dengan sendirinya ia menjadi suci. Begitu juga dengan kulit bangkai dapat disucikan dengan cara disamak.



PEMBAHAGIAN NAJIS.

1.  Najis Mughallazah. (tebal) iaitu anjing dan babi. Benda yang terkena najis ini hendaklah dibasuh tujuh kali, sekali daripadanya hendaklah dicampur dengan tanah.

Sabda Rasullullah (SAW)

cara mencuci bejana seseorang kamu, apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh tujuh kali, air pertama hendaklah dicampur dengan tanah." (Riwayat Muslim).

2.  Najis Mukhaffafah. (Ringan). seperti kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk mensuci benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa.

3.  Najis Mutawassitah. (Pertengahan) iaitu najis yang lain daripada dua macam tersebut di atas. Najis pertengahan ini terbahagi kepada dua bahagian.

     3.1  Najis Hukmiah. - iaitu najis yang diyakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya , rasanya serta warnanya.  seperti kencing yang sudah lama kering, sehingga sifat-sifatnya sudah hilang. cara mensuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena itu.

     3.2  Najis Ainiah.  Najis yang nampak dan kelihatan najisnya seperti tahi, darah dan lain-lain.