Wednesday, 5 December 2012
CARA MENYUCIKAN NAJIS
Cara Menyuci Najis Mughallazah (Najis Berat)
* Anjing dan babi serta keturunan salah satu daripadanya. - termasuk dagingnya, lemak, tulang, darah, liur, tahi, kulit serta bulunya serta seluruh bahagian badannya.
Peringatan.
1. Tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak.
2. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).
Cara Menyucinya.
Hilangkan najis itu terlebih dahulu kiranya najis haiwan itu yang tersentuh. Basuhan pertama menggunakan air lumpur (Selut).
Kemudian dijirus dengan enam kali air mutlak. Basuhan ini hendaklah menghilangkan bau, rasa dan ainnya.
Cara menyucikan Najis Mutawasitah (Pertengahan).
1. Najis Ainiyah.
i. Buangkan najis itu terlebih dahulu.
ii. Basuh bekas itu sehingga hilang bau, warna dan rasa dengan air mutlak.
2. Najis Hukmiyah.
i. Memadai dengan mengalirkan (Menjirus) air mutlak pada tempat yang terkena najis.
Cara menyucikan Najis Mukhaffafah (ringan).
Memadai dengan merenjiskan air pada benda atau tempat yang terkena najis sehingga rata.
Cara Menyucikan Kulit Bangkai
Binatang yang mati tidak disembelih adalah bangkai. Kulit bangkai kecuali binatang laut dan sungai tidak boleh dipergunakan sebelum disuci.
Cara menyucinya ialah dengan dibersihkan menggunakan air bercampur daun bidara atau juga biasa disebut samak. Sebelum disamak kulit bangkai itu adalah najis.
Cara menyucikan cairan yang memabukkan.
Kiranya minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda cair, maka buanglah semuanya. Tetapi jika minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda beku, cukuplah dibuang bahagian yang terkena dan kawasan sekelilingnya.
Perkara yang tidak dikira sebagai najis.
Bagi haiwan yang mati tanpa disembelih hukumnya bangkai yang bernajis kecuali yang berikut di bawah:
1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.
2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.
3. Belalang.
4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.
5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.
Hukum Peluh dan air liur manusia dan binatang.
1. Air liur, kahak yang keluar daripada dada atau otak, air hidung, air mata, peluh , mani, susu jika ia keluar dari:
i. Anjing dan babi atau keturunannya adalah haram kerana ianya adalah najis.
ii. Keluar daripada binatang atau manusia adalah suci semuanya. tapi benda itu adalah dianggap jijik dan haram dimakan.
2. Tidak najis air liur kucing, jika pasti semasa itu ia tidak memakan benda najis seperti cicak, tikus dan seumpamanya.
i. Selepas makan tikus lalu kucing itu menjilat air minuman, maka air yang dijilati itu menjadi najis.
ii. Jika selepas makan tikus atau sebagainya, kesan darah di mulut kucing itu telah hilang, kemudian kucing itu menjilat minuman. Air minuman itu tidak najis.
Air Liur Basi
Air yang keluar daripada mulut ketika seseorang tidur.
1. Jika air itu berwarna kuning atau busuk, maka iar liur basi itu najis kerana ia keluar dari perut.
2. Jika air liur itu tidak berwarna dan tidak berbau busuk, maka iar liur itu tidak najis kerana bukan keluar dari perut.
Hukum Madu
1. Halal meminum madu kerana madu keluar daripada mulut lebah.
2. Haram memakan anak lebah sekalipun belum bernyawa.
3. Tidak makruh meminum madu daripada lebah yang memakan najis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment